:: Setakat ini belum dirancang Khas untuk ruangan ini.. namum, sebagai memenuhi ruang yang ada, ku paparkan perkongsian Ilmu dan Pengalaman yang di catat oleh Murabbiku.. Ustaz Zahidin ... Semoga dapat manfaat semua :::

Rabu, 28 April 2010

SIRI 3 UNIVERSITI OF ABIM : MENGHAYATI RUKUN BAIAH YANG KE LIMA “تضحية” (PENGORBANAN)




" SEMANGAT KENTAL PEJUANG VATERAN ABIM "

( satu pengalaman yang sungguh indah dan menarik……)

Prof. Dr Yusuf Al-Qardhawi bekata bahawa Jenerasi Islam ini haruslah mempunyai sifat keimanan yang sanggup berkorban-tidak mementingkan diri-sabar-berani-pemurah-
ikhlas-tidak mudah dipengaruhi oleh janji manis manusia-tidak gentar dengan ancaman dan ugutan-dan ini memerlukan pendidikan yang teratur rapi dan jangka masa panjang, yang mempunyai asas yang mendalam; dikendalikan oleh gulungan pilihan “Rabbaniyun”. ( Harakah Islamiah Satu Tuntutan : Terjemahan oleh : Al-Fadhil Ustaz Abdul Ghani Shamsuddin, Mantan Ketua Biro Tarbiah ABIM Pusat ).

Untuk menjadikan ABIM sebagai sebuah Gerakan yang sentiasa relevan sapertimana kehendak Mahaguru ABIM Al-Fadhil Ustaz Sidiq Fadil, ABIM memulakan program tarbiah diperingkat kanak-kanak lagi. Diketuai oleh Dr. Abdul Rahman Kurais ( masa itu pensyarah di Universiti Pertanian Malaysia-UPM) melalui Biro Pendidikan ABIM pusat telah memerah otak menggubal Kurikulum Pendidikan Taman Asuhan Kanak-Kanak Islam ( TASKI ) untuk digunapakai oleh setiap ABIM negeri dan daerah. Turut terlibat antaranya, ialah Tuan Haji Ahmad Said ( Pusat Perkembangan Kurikulum, Kementerian Pelajaran Malaysia ) , Dr Ghazali Basri ( UPM ), Dr, Abdul Halim El-Muhammady ( lebih dikenali sebagai ustaz Halim Al-Muhammady,UKM ), Ustaz Ni’mat Yusof (daripada Pondok Derang Kedah ) Ustaz Ghazali ( Perak ), saudara Ismail Yusof ( Perak ), saudara Che Yob Mahmood ( Kelantan ), saudara Zahidin Mahmood ( Abah, Terengganu ),saudara Anuar Tahir ( S/U Agong ABIM ), saudara Annuar Salleh dan ramai lagi sahabat ABIM warga pendidikan yang turut terlibat. Mereka juga turut terlibat melatih Guru-guru TASKI diseluruh Negara ( termasuklah sebahagian besar guru-guru PASTI, anjuran PAS itu adalah asalnya guru-guru yang terlatih dengan Modul Latihan Guru-Guru TASKI ABIM. Kesemua ini berlaku dalam Tahun 80 ‘an hingga pertengahan tahun 90 ‘an.

Memang benar kata Al-Fadhil Ustaz Sidiq Fadil bahawa da’wah adalah perjuangan yang tidak pernah ketinggalan zaman. Ianya sentiasa dan selamanya releven dalam apa jua suasana dan keadaan. Kita tidak usah merasai rendah kerana menjadi orang da’wah tetapi jangan pula menjadi angkuh, merasa sebagai juara yang mempertidakkan peranan dan sumbangan petugas-petugas Islam di bidang-bidang yang lain.

Orang-orang da’wah bukan golongan drop-outs perjuangan, malah sebenarnya merekalah yang menulangbelakangi perjuangan umat menebus maruah khayra ummah ( umat terunggul ) yang dicirikan oleh watak penda’wah-menyeru kemakrufan, mencegah kemungkaran dan beriman dengan AlLah sapertimana firman Allah di dalam Al-Quran surah Al-Imran ayat 110 yang bermaksud :

“Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang ma’ruf, dan mencegah dari yang mungkar, dan beriman kepada AlLah. Sekiranya Ahli Kitab beriman, tentulah itu lebih baik bagi mereka; di antara mereka yang beriman, dan kebanyakan mereka adalah orang-orang yang fasik.”

( Dipetik daripada : Ucapan Dasar Muktamar Sanawi ABIM Ke 14 di Dewan Kuliah Utama (MLT) Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi, Selangor pada 6-8 Disember 1985;Oleh Presiden ABIM ketika itu,Ustaz Sidiq Fadil ) .

BINA TASKI DALAM SERBA KEDHAIFAN

Aktivis ABIM pada tahun 80 ‘an dan 90 ‘an kebanyakannya adalah guru-guru sekolah dan ustaz sekolah pondok dan kerajaan. Sebahagian besar daripada mereka juga merupakan kakitangan kerajaan ( dari peringkat pegawai hingga ke pekerja rendah am kerajaan dan swasta ). Malah, ramai juga terdiri daripada orang-orang kampong, petani dan tukang-tukang rumah dan nelayan.

Dengan berbekalkan semangat juang yang tinggi serta menginsafi tuntutan amal ma’ruf dan nahi mungkar mereka telah mengorbankan masa, harta, tenaga dan jiwa mereka untuk kepentingan da’wah.
Abah masih ingat ketika Esko ABIM daerah Besut yang dipimpin oleh Ustaz Zahari bin Abdul Latiff telah mengadakan mesyuarat penubuhan TASKI di Besut di kebun pisang di kampong Padang Landak, Jerteh, Besut Terengganu. Sahabat-sahabat datang membawa cangkul, ubi kayu rebus, jagung rebus, nasi laut ikan kering dan biskut tawar keras ( direndam dalam kopi ‘O’ kau ) untuk dimakan setelah penat berkebun.

Kami menanam pisang dan ubi kayu untuk dijual buat menampung kos pembinaan TASKI.
Bagi yang pandai bertukang, tidak mengambil sebarang upah, bahkan ada yang bagi tiang kayu dan papan dinding yang mereka hendak jadikan rumah tempat tinggal untuk dijadikan TASKI. Ada yang datang membawa pasir dan simen dengan menunggang basikal tua. Sampai gendong tiga orang kawan. Kuat sungguh semangat juang mereka. Mereka bukannya orang terpelajar, lulusan universiti. Malah ada yang tak dapat membaca dan menulis. Mereka sanggup tiada jendela rumah asalkan cita-cita Islam mereka dapat didaulatkan. Mereka sanggup beratapkan atap nipah, kerana atap zinc rumah mereka disedekahkan untuk TASKI.

Abah sebak ketika teringat seorang nenek tua ( sudah meninggal ) datang menghadiah sebentuk cincin pusaka miliknya untuk membeli simen bagi menyiapkan lantai TASKI. Ya Allah, terlalu lemah dan hinanya diri ini bila mengenangkan pengorbanan setiap hambamu…..

Habis seisi keluarga ahli-ahli jamaah ABIM turut terlibat, termasuklah nenek tua tersebut. Dia memasak gulai lemak pucuk ubi kayu dan ikan darat yang kami kail dari sungai dan paya yang berdekatan. Kami makan dalam daun pisang dan bersila di atas tanah beralaskan rumput dan pacat. Ada sahabat yang ditugaskan untuk mengambil air dari paya yang berdekatan, kemudian ditapis dengan kain untuk direbus buat diminum menghilangkan kehausan. Lepas makan kami solat berjamaah dan berdoa minta Allah murahkan rezeki untuk menyiapkan bangunan TASKI di dalam kebun tersebut.

Sungguh sedih bercampur pilu, sebak bercampur tawadhuk, memuji kebesaran ilahi yang telah mengurniakan Taufik dan Hidayah kepada hamba-hambanya yang ikhlas dalam menegakkan agama Islam di muka bumi ini.

Abah masih teringat seorang pakcik tua Haji Abdul Ghani, dari kampong seberang Jerteh, Besut , Terengganu ( sudah meninggal dunia) menebang pokok getahnya untuk dijual bagi membuat bangunan TASKI. Tanah tersebut disuruh tanam pisang tanpa diambil sewanya.

Masa itu Abah pakai kereta Simcar ( enjin di belakang ). Dengan kereta tersebutlah kami memunggah benih pisang dari kampong Pak Sik, Keruak, Ulu Besut ( lebih kurang 60 kilometer dari Bandar Jerteh ) untuk ditanam di kebun Haji Abdul Ghani itu. Kami terpaksa berhenti beberapa kali di tepi jalan kerana enjin kereta berasap setelah kering air tangki ( kerana te rlalu panas )sebelum sampai ke tempat menanam benih pisang tersebut.

AlLahyarham Haji Abdul Ghani juga turut sedekahkan rumah sewanya untuk dijadikan bangunan TASKI. Yang sukanya disamping kanak-kanak 5 dan 6 tahun yang belajar di TASKI, ramai juga ibubapa yang turut belajar membaca doa (diluar tingkap TASKI). Abah terbayang dan teringat bangunan yang dianggap sarkas oleh sudin dalam filem Seniman Bujang Lapuk..Ha..haa..

Pernah juga berlaku satu peristiwa dimana salah seorang pelajar TASKI kita yang tidak ingat membaca doa keluar tandas bila pulang kerumahnya. Apabila ditanya kepada kedua orang tuanya, mereka juga tidak pernah membaca doa semasa keluar dari tandas. Masalah menjadi semakin rumit apabila kanak-kanak itu tidak mahu keluar dari tandas tersebut sebelum membaca doa keluar tandas. Katanya Cikgu TASKInya melarang keluar tandas sebelum membaca doa. Nasib baik ada kawan sama-sama belajar di TASKI yang menjadi jiran pelajar tersebut. Tapi yang menjadi masalahnya ialah kedua ibubapanya tidak bertegur sapa dengan jirannya itu kerana berlainan ideologi parti politik. Hendak tak hendak bapa kanak-kanak yang berada di dalam tandas itu terpaksa menebalkan muka pergi minta tolong kawan anaknya untuk mengajar doa keluar tandas tersebut. Nasib baik jirannya itu mengalah membenarkan anaknya pergi mengajar anak orang itu membaca doa. Setelah diajarkan doa itu kepadanya, barulah ia keluar dari tandas tersebut. Selepas peristiwa itu kedua-dua jiran tersebut berbaik semula setelah berbulan tidak bertegur sapa. Siap jemput kami makan nasi lagi dirumah mereka dan abah pun dapat rasa tempiasnya bila dijemput sama makan nasi gulai ayam percit kampong. Beraya sakan kami malam itu, sampai balik pukul 2.00 pagi bersembang mengenai masa depan politik orang Melayu di Malaysia. Abah walaupun tak minat politik terpaksalah sabar menunggu demi untuk menyatukan manusia. Penat badan jangan berkira, tapi syukur kami dapat melihat kesan pendidikan Pra Islam ABIM yang dapat mendamaikan dua insan yang tidak bertegur sapa. AlhamdulilLah….
Mengingat kembali pesanan AlLahyarham Ustaz Fathi Yakan di dalam kitabnya ‘Maaza ya’ni…” beliau menyatakan :

“ Penggabungan diri kedalam gerakan Islam bukan hanya setakat mengemukakan permohonan untuk jadi ahli dan mendaftarkan nama sahaja. Bukan hanya setakat berulang alik ke markas dan pejabat-pejabat gerakan Islam untuk menghadhiri perhimpunan ( bermesyuarat ) sahaja, malah penggabungan ini mestilah membawa pengertian yang lebih jauh, melewati batas formaliti dan penilaian-penilaian lahiriah yang dapat membuktikan kedalaman akidah dan kekuatan hubungan pemikiran dan tanzim. Ia merupakan penggabungan yang bersifat Aqidah.Sejauh mana kita melarutkan aqidah gerakan Islam itu ke dalam diri kita, kerana gerakan Islam menolak intima’ ( penggabungan ) yang dilakukan pada zahirnya sahaja, sebagaimana yang berlaku dalam pertubuhan-pertubuhan yang hanya mementingkan soal-soal struktur kepimpinan sahaja, yang mana keadaan ini telah menjadi kuman yang telah menyebabkan kehancuran pertubuhan-pertubuhan tersebut.

Oleh itu intima’ diri ke dalam gerakan Islam, pertamanya membawa erti penggabungan diri dan menganuti Islam itu sendiri. Keadaan ini seterusnya menuntut supaya seluruh perintah Alah ditaati di samping mengharapkan keredhaanNya. Ini akan dapat mengelakkan penggabungan diri ke dalam gerakan Islamiah terjejas disebabkan kematian seseorang atau kehilangan mereka dari medan da’wah kerana sesuatu sebab. Ini kerana intima’ kedalam gerakan Islam akan menjadikan seseorang itu terikat dengan AlLah, demikian juga perhimpunan anggota gerakan Islam turut .terikat dengan AlLah. Inilah yang menjadi rahsia disebalik kekal dan berterusan da’wah Islamiah. Siapa sahaja yang mengabdikan diri kepada Muhammad s.a.w. sesungguhnya Muhammad s.a.w. telah wafat dan sesiapa sahaja yang mengabdikan diri kepada AlLah, sesungguhnya AlLah hidup dan tidak akan mati.”
Firman Allah ( Surah Al-Fath : Ayat 10 ) :

“ Sesungguhnya orang-orang Yang memberi pengakuan taat setia kepadamu (Wahai Muhammad - untuk berjuang menentang musuh), mereka Hanyasanya memberikan pengakuan taat setia kepada Allah; Allah mengawasi keadaan mereka memberikan taat setia itu (untuk membalasnya). oleh itu, sesiapa Yang tidak menyempurnakan janji setianya maka bahaya tidak menyempurnakan itu hanya menimpa dirinya; dan sesiapa Yang menyempurnakan apa Yang telah dijanjikannya kepada Allah, maka Allah akan memberi kepadanya pahala Yang besar.”

WalLahu ‘Alam.

SIRI KE 4 AKAN MENYUSUL DAN BANYAK LAGI CERITA-CERITA PELIK DAN SEDIH UNTUK KITA KONGSI BERSAMA….INSYA-ALLAH…

SYUKRAN KERANA SUDI MEMBACA “UNIVERSITI OF ABIM”.

28hb April 2010 11.30 malam/KB/Kelantan.



TERIMA KASIH KEPADA ABIM YANG TELAH MELATIH KAMI MENGENALI ERTI SEBUAH KEHIDUPAN DAN PERJUANGAN MENUJU KEREDHAAN TUHAN DAN LEBIH MENGENALI MA'RIFAHNYA, MENGANGKAT MARTABAR IMAN DAN INSAN SERTA MENGINSAFI DIRI SEBAGAI HAMBA YANG KERDIL DAN LEMAH DISISI ALLAH SUBHANAHU WA TA'ALA....


ABIM UNIVERSITI YANG BANYAK BERJASA : Mengingatkan kata-kata sarjana UIA yang banyak melakukan penelitian tentang gerakan-gerakan Islam semasa, iaitu Prof. Dr. Muhammad Kamal Hassan, telah menemukan apa yang disebutnya sebagai RADICAL DEPARTURE - peringkat yang radikal dari segi kematangan dalam ABIM dewasa ini....katanya lagi, "The maturing process (in ABIM) appears to be a genuine developement" ( bahawa process pematangan (dalam ABIM) tampak sebagai suatu perkembangan yang tulen dan benar-benar sedang berlaku) - dipetik dari Ucapan Dasar Mahaguru ABIM, Al-Fadhil Ustaz Sidiq Fadil dalam Ucapan Dasar Muktamar Sanawi ABIM Kali Ke 14, Dewan Kuliah Utama ( MLT ) Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi, Selangor pada 6-8 Disember 1985.

SIRI KE 2 "UNIVERSITY OF ABIM " (UoA) : SLOGAN PERJUANGAN

ILMU SEBAGAI SLOGAN PERJUANGAN

Era 70an merupakan era permulaan kepada kebangkitan Islam dalam bentuk gerakan di Malaysia. ABIMlah yang mempularkan istilah : Fundermental Islam, Tasawwur Islam, Islam Yang Syumul, Bersepadu (intergrated), Islamization Of Knowledge, Sistem Ekonomi Islam, Bank Islam, Universiti Islam, Gaya Hidup Islam, Sahsiah Islamiah. Malah Politik Cara Islam. Budaya Kerja Islam.Kurikulum Sistem Pendidikan Kanak-Kanak Islam . Sekolah Rendah Islam. Semuanya dicanang ke hulu dan ke hilir. Dilaungkan di dewan-dewan kuliah Universiti dan Kolej. Disuarakan di sudut-sudut pidato ( medan siswa ) di universiti. Termasuklah “Daulah Islamiah” (Negara Islam) dan Undang-Undang Islam/Sistem Pengurusan Islam ( Islamic Law / Islamic Management ).

Pada era 80an mula diseminarkan tajuk-tajuk yang berkaitan. Dikupas di dalam majalah, artikel, surat khabar, journel. Ditulis dan dibentangkan di dalam kertas-kertas kerja seminar dan symposium. Ada yang dinamakan ‘Interlectual Discourse’.Tempat buat seminar atas ehsan pihak universiti dan sahabat-sahabat yang kebetulan mengajar di universiti. Pembentang tidak ada bayaran. Makan tidak disediakan. Peserta pula dikenakan pendaftaran. Anehnya, ramai pula yang daftar. Ada yang datang berjalan kaki. Naik motosikal Honda 70cc.Naik Bas Mini. Tompang kereta dengan isyarat tangan-“peace”.

Beginilah cara kita berdakwah dengan membudayakan ILMU sebagai pra syarat utama kebangkitan Islam. Maka tak hairanlah kenapa ABIM dicop 'Gerakan Elite'. Hanya orang-orang pandai sahaja yang layak menyertai ABIM ( sebenarnya tanggapan itu tidak benar sama sekali dan akan abah buktikan pengalaman bersama orang-orang kampong Tok Sabuh, Besut berusrah dalam kebun pisang di dalam siri akan datang-Insya-Alah ).

Diperingkat negeri dan daerah pula di adakan Tamrin, Usrah Gabungan, Muqaiyam, Qiamulail ( sebenarnya kita yang memulakan Program Qiamulail ) bagi memantapkan kefahaman ( sahabat-sahabat dan orang ramai ) terhadap ajaran Islam yang syumul ( lengkap ) atau disebut, “A Complete Way Of Life” ( Nizamul ‘l-Hayat ). Sahabat-sahabat pimpinan datang ( dengan duit belanja sendiri ) dari jauh untuk mengisi program dengan kereta sendiri ( buruk-buruk pula tu-tapi bodi kereta bertampung macam lembu kurap ) Asal jangan nampak karat sudah. Janji enjin hidup.O.K. la..

Ada model macam-macam. Yang famous Morris Minor, Volkswegen, Honda Bau Hulu, Mini Clubman, Opel Cadett, Mini Minor, Simcar ( enjin di belakang-kereta abah mula-mula pakai ), Jagguar, Pegiout, Volvo. Datsun dan lain-lain. Ada yang cerita kereta berasap kering air tangki. Ada yang tayar kereta nampak tiub. Di dalam kereta pula penuh berisi buku-buku dan file-file. Kain baju berselerak di atas kusyen kereta. Baunya, maasya-AlLah..! tuhan sahaja yang tahu. Setengahnya pula bila hujan tiris atas kepala, walaupun duduk dalam kereta. Muat penumpang macam tin sadin. Lengoh tak dapat nak cakap. Ada yang pakai tangan sebagai wiper bila hujan. Tapi yang best tu, buruk-buruk pun pakai rim sport. Sedih bercampur hiba apabila mengenangkan perngorbanan sahabat-sahabat itu. Kadang-kadang nak tergelak pun ada..ha..ha.!

Tapi walaupun letih kami puas. Jiwa kami tenang, terutamanya apabila lepas Solat Suboh, baca al-matsurat kubra ramai-ramai.Wajib dihafal pulak tu.Pagi riadhah pakai kain sarong dan ( maaf cakap ) ada yang tak pakai seluar dalam.Ha..ha..haha… Makan nasi dalam talam, sambil duduk bertimpuh ( ikut sunnah nabi ). Sahabat-sahabat berselera …tambah nasi…sampai ( licin ) kokok kerak..!!!.( kato ore klate ). Lauk cuma ikan lolong ( ikan mata besar ) goreng, kuah cair, goreng kacang panjang campur telur dan sedikit sambal.Tidak ada yang complain!

Abah sedih apabila teringat, Mahaguru abah Al-Fadhil Ustaz Sidiq tidur berbantalkan rehal ( tempat letak al-quran) di surau kampong Mengabang Telipot satu ketika dulu. Al-Fadhil Ustaz Abdul Halim El-Muhammady pakai tin milo kosong buat bantal. Tidak kiralah apa sahaja yang ada.Janji boleh buat bantal.Nyamok jangan berkira. Tampar sahajalah..!Pop..! pe…!.pop..! pe..! bunyi tampar nyamok. Ada yang tidur berdengkur macam dapur semawar ( sejenis dapur minyak tanah-guna pam tangan ). Ada yang asyik bermuzakarah hingga tepuk lantai dan tunjuk cari telunjuk terutama isu politik yang membabitkan PAS dan UMNO.

Beginilah cara kami berseminar. Simple. Very simple dan tawadhuk. Tak payah cari sponsor. Kami bayar yuran tamrin dan ada sahabat yang tak mampu bayar walaupun kadar $3.00 hingga $5.00 ringgit ( maklum sahajalah minyak kereta acap kali benar kering di tengah jalan, sebab meter minyak tak berfungsi-kereta antik la konon...he..hehe...). Ada juga kereta yang kering air tangki. Terpaksa ceduk air perigi dengan timba. Tak malupun walau mengaji sampai ke Madinah dan Azhar. Allahu akbar..!! Indah sungguh memori perjuangan ABIM.Semoga diterima Allah. Amin.( nanti akan abah ceritakan pengalaman pikul tiang, jahit atap nipah buat bangunan TASKI dengan sahabat-sahabat di keluaran akan datang-Insya-AlLah ).

Jamaah lain setakat yang abah ingat ( minta maaf ) hanya pandai bercakap. Petah berpidatio berapi-api. Baca ayat-ayat al-Quran, cair kata orang. Hadis Nabi hafal jangan berkira. Semangat ( berkobar-kobar ) saja hendak kepada Negara Islam, Politik Islam dan Undang-Undang Islam. Mereka hanya pentingkan popularity dan nama kumpulan.Orang lain semua salah, dia saja yang betul.Orang lain semua secular dan thagut, dia saja yang Islam.. Asyik ( nyohor ) tunjuk logo dan warna kumpulan mereka sahaja.Bendera bukan main besar. Tinggi pulak tu-atas pokok kelapa ( tinggi langgok ). Sayang, intinya mereka tiru dan ikut cara kita.

Ada yang utamakan janggut, kopiah, jubah dan sarban. Yang tak pakai kopiah kafir. Yang tak simpan janggut thagut. Yang pakai tali leher- tak syarie.Tak jelas dan sebagainya.Pakai songkok-sekular-thagut.Pen
dik kata semua yang kita buat tidak Islamik. Yang mereka buat ikut sunnah.Asli dan Islamik..! Abah senyap sahaja. Takse baloh dengan ore ( cakap kelate )..sabarlah kito…..

Abah teringat dekat sabahat abah akhi Anuar Tahir ( masa itu S/U Agong ABIM Pusat ) dituduh Thagut dan tidak syarei oleh pelajar-pelajar ektrim di Mesir. Dia dihalau dari dewan seminar. Dia kerap dilabelkan sekular, semata-mata kerana pakai songkok ( tak pakai kopiah dan sarban ). Nasib baik dia sabar.Nampak relax jah. Kalu abah jadi dio, tak tahulah nok jadi guano. Maklumlah darah keturunan Tok Janggut…! Pantang dicabar..Angkat kelewang ( parang panjang ) selalu ( serta-merta)…Allahu..Akbar…!!!!

Semasa muktamar di Kelang, Ustaz Zawawi Ali ( adik YB Dato’ Mustafa Ali, Terengganu ) naik di atas pentas dewan semasa muktamar sedang berjalan dan melaungkan takbir minta ditukar pimpinan ABIM yang dikatakan tidak Islamik pada masa itu. Abah tengok sabar sungguh pimpinan ABIM ketika itu. Senyap sahaja, terutamanya Mahaguru Abah Al-Fadhil Ustaz Sidiq. Kalaulah tidak kerana ketabahan dan kesabaran mereka, hancur jamaah kita. AlhamduliLah. Syukur ABIM semakin kuat.

Abah dan Kak Nah pernah juga terima panggilan telipon, bila angkat saja telipon tak diberinya salam, malah ditempikkan perkataan,”anta thagrut..! bersekonggkol dengan golongan sekular..! bertaubatlah ahli jamaah anta..!!”..Maasya-Allah…!!! Terkejut beruk abah. Mujur tak pengsan..!

Masa itu issue PAS ambil alih TASKI ABIM di Terengganu ( abah pada masa itu dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Pengelola TASKI Negeri Terengganu - mengambil alih jawatan daripada sdr. Zakaria Dagang - yang berpindah menyertai PAS Terengganu ). Habis Korikulum TASKI kita dicimplakkannya.Dia fotokopi isi dalamnya dan dia bubuh kulit dan logo mereka ( pedang bersilang ).Tapi kita sabar. Sebab mereka itupun bekas sahabat-sahabat ABIM kita. Sama-sama hendak kepada Islam.

Selepas itu abah turut melatih guru-guru taski dan dibekalkan kerpada PASTI. Kita tidak pernah berdendam dengan mereka. Kita selalu mengalah. Malas baloh kato ore Kelate. Bukan saperti sesetengah orang tu.Sampai sekarang pun, bila jumpa…gitu..gitu jah..! Jawab salam pun…bunyi dalam tengkok jah..! waa.. laikumu……salam. Dengar tak dengar…Astagfirullah al-‘Adzim..!

Rasanya elok abah nukilkan kembali pandangan kritis dan bermakna, Mahaguru Besar abah, Al-Fadhil Ustaz Sidiq Fadhil di dalam Ucapan Dasar Mukatamar ABIM, bertajuk :”Gerakan Islam Dekad ’90-an : Visi Dan Strategi” di Dewan Muktamar Pusat Islam Malaysia, Kuala Lumpur, pada 16-19 Ogos 1991.

Kata Al-Fadhil Ustaz Sidiq :

“ Sesungguhnya kita amat berbahagia dengan kurnia kesempatan menyaksi dan menghayati saat-saat yang penuh makna, saat berlalunya dua dekad yang sarat dengan catatan perjalanan sebuah harakah yang mewadahi aspirasi kebangkitan umat. Dekat pertama tahun-tahun ’70-an berintikan sejarah hempas pulas generasi pengasas-membina wadah, menyebar risalah dalam suasana yang serba payah. Sejarah bermula dengan kebangkitan sekumpulan anak muda terpelajar - elemen yang sedar dari masyarakatnya - yang tidak rela melihat Islam yang terus-menerus dipinggirkan, yang tidak tahan menyaksikan derita umat dalam kemiskinan dan keterbelakangan, yang kecewa dengan elite kepimpinan umat yang tidak punya visi sehingga Negara menjadi umpama bahtera megah yang kehilangan arah. Mereka tampil memperjuangkan Islam sebagai ad-Din yang syamil, dan mereka bangkit menggempur sistem-sistem warisan penjajahan. Kehadiran mereka sebagai penyuara aspirasi umat ternyata tidak disenangi oleh golongan yang berkepentingan. Banyaklah ranjau yang mereka lalui, berbagai tribulasi yang mereka alami termasuklah ujian pahit penahanan pemimpin utamanya di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri. Malah kecenderungan juga usul mengharamkan gerakan ini. Ramai yang mengharapkan ABIM akan lumpuh. Ternyata ABIM tetap kuat, semangat juangnya semakin kental. Rupa-rupanya ketidakadilan terhadap ABIM dan pimpinannya itu telah meraih lebih banyak simpati dan dukungan yang semakin merakyat. Bertambah yakinlah kita betapa rapuhnya tipudaya manusia apabila berhadapan dengan tipudaya Allah yang mengungguli segala tipudaya mereka.

Dekad kedua-tahun-tahun ’80-an adalah era mencatatkan satu lagi ujian besar-aliran sederhana yang merupakan mainstream atau arus besar dalam gerakan ini menghadapi gugatan aliran radikal-emosional, suatu kemelut pertembungan aliran yang cukup mencemaskan. Ketika itu kita menyaksikan di sana-sini bermunculan kelompok-kelompok penangguk di air keruh yang mengambil kesempatan cuba membunuh kredibiliti ABIM sebagai sebuah gerakan Islam. Ada kalangan yang mengharapkan sekali ini habislah ABIM. Syukurlah, berkat kesabaran dan kegigihan kita semua, aliran sederhana ini dapat terus didominasikan. Penerimaan terhadap pendekatan sederhana semakin meluas, termasuk kalangan-kalangan di luar ABIM. Aliran radikal-emosional yang pada suatu ketika begitu dominan, kini semakin terpinggir. Malah ada orang-orang yang dahulunya mengencam hebat pendekatan sederhana kita itu kononnya sebagai mengkhianti prinsip, konon bersekongkol dengan sekularis taghut jahiliah, dan entah konon apa lagi, memperlihatkan karenah-karenah yang membenarkan kata-kata dulang paku serpih. ABIM tidak perlu besusah payah membela diri lagi, biarlah peristiwa-peristiwa sejarah itu sendiri speaks for itself.”

FIRMAN ALLAH :

“ Dan juga orang-orang Yang apabila melakukan perbuatan keji, atau menganiaya diri sendiri, mereka segera ingat kepada Allah lalu memohon ampun akan dosa mereka - dan sememangnya tidak ada Yang mengampunkan dosa-dosa melainkan Allah -, dan mereka juga tidak meneruskan perbuatan keji Yang mereka telah lakukan itu, sedang mereka mengetahui (akan salahnya dan akibatnya).”

( Al-IMRAN:AYAT 135 )

SIRI 3 AKAN DATANG...;Tajuk : " SEMANGAT KENTAL PEJUANG VATERAN ABIM " ( satu pengalaman yang sungguh indah dan menarik pikul tiang dan punggah pasir dengan basikal.......)
Insya-Allahu Ta'ala.


SIRI PERTAMA UNIVERSITY OF ABIM ; PUJAAN HATIKU..?

SEKAPUR SIREH

Anak2 Abah sekelian. Abah bercadang untuk menulis pengalaman pahit maung ditarbiahkan oleh ABIM sejak dari tahun 1978 sehinggalah hari ini 2010. Terlalu besar ertinya pengalaman yang telah Abah lalui di dalam ABIM selama 22 tahun untuk dikongsikan oleh anak-anak Abah.

Lebih menggerakkan Abah untuk menulis pengalaman tersebut kerana sudah timbul dikalangan masyarakat menganggap ABIM masih lagi kepunyaan DS Anwar dan sememangnya dan selamanya berkerja dan beramal menurut telunjuk DS Anwar, terutama di kalangan pihak kerajaan. Sedangkan ABIM tetap utuh dengan imej dan kredibilitinya sebagai Wadah aspirasi Belia Islam yang non-partisan dan berpaksikan kepada prinsip DA'WAH dan TARBIAH dan membawa watak dan sifat "RAHMATAN LIL-'ALAMIN".

Sapertimana kata mantan Presiden ABIM, Dato Dr. Sidiq Fadhil ( Al-Fadhil Ustaz Sidiq) : “ Kehadiran ABIM membawa watak al-mu’minu ‘l-qawiyy ( mu’min yang kuat ) sifat-sifat keunggulan peribadi al-qawiyyu ‘l-‘amin ( watak yang gagah dan amanah). Kesedaran tentang kekudusan amanatu ‘d-da’wah harus terus digilap demi menghindari gegala pengkhianatan amanah da’wah-memburu populariti hingga mengorbankan kebenaran, memenangkan pendirian dan kepentingan kelompok sendiri hatta dengan memutarbelitkan kenyataan. Untuk kesekian kalinya kami peringatkan lagi, para penda’wah ABIM harus punya keberanian menegakkan kebenaran dan kema’rufan, sekalipun andainya kita terpaksa menentang arus, dan sekalipun andainya kita terpaksa mempertaruh populariti wadah tercinta ini.” ( Ucapan Dasar Muktamar Sanawi ABIM Ke 20; 16-19 Ogos 1991;Dewan Muktamar Pusat Islam Malaysia, Kuala Lumpur,m.s.9).

Perlu ditegaskan bahawa ABIM semesti dan selamanya bebas mengamalkan prinsip 'Corrective Participations' dengan sesiapa saja yang ingin kembali kepada cara hidup Islam yang suci.

Oleh itu Abah akan ceritakan secara telus dan ikhlas bagaimana Abah dan sahabat-sahabat ABIM berjuang atas paltform ABIM menyampaikan Islam ke seluruh pelusok tanah-air hingga ke Sabah dan Sarawak melalui jemputan dan kerjasama dengan Agensi Kerajaan, NGO dan Swasta termasuk para pelajar dan belia serta kanak-kanak taski.

Kemungkinan besar Abah akan menyebut nama-nama mereka yang suka dan sayang terhadap ABIM sehingga kini dan juga mereka yang benci dan ingin melihat ABIM berkubur kerana dengki.

Semoga usaha Abah yang kecil ini akan dapat menyelamatkan ABIM dan memperjelaskan kepada masyarakat khususnya Kerajaan, Parti-parti Politik dan NGO-NGO siapa sebenarnya ABIM dan betapa ruginya sekiranya ABIM tidak ada di Malaysia ini, khususnya untuk belia-belia Islam dan umat Islam serantau.

Anak-anak Abah bolehlah mengikuti SIRI :" UNIVERSIRTY OF ABIM " di facebook abah ini, di mana Abah anggap ABIM adalah Universiti yang sebenar yang telah mendidik Abah mengenal erti hidup dan perjuangan yang sebenarnya. Abah dapat rasa benar kesannya sekarang ini setelah menjangkau umur 50an. Saban waktu diri yang kerdil ini merasa sebak dan tanpa disedari berlinangan air-mata apabila melihat segelintir manusia yang menggelarkan dirinya 'Pejuang Islam' memperalatkan ABIM untuk tujuan peribadi mereka.., " Ya..Allah.., berilah aku kekuatan untuk memperkasa dan menyelamatkan ABIM dari mereka yang berkepentingan itu...!"

SEJARAH CINTA BERPUTIK

Aku masih ingat ketika aku pertama kali diajak oleh Allahyarham Ustaz Ramli Ibrahim ( ketika itu belum dapat Dr.) semasa di UiTM pada tahun 70an. Aku sebenarnya tidak kenal Ustaz Ramli. Namanya pun aku belum pernah dengar sebelumnya. Kebetulan aku tinggal sekampung dengan sepupunya, iaitu Alahyarham Nik Kamarudin Nik Mohd Amin di Kampung seberang Jerteh, Besut Terengganu. Allahyarham Nik Kamarudin menceritakan kepada Allahyarham Ustaz Ramli bahawa ada seorang kawannya yang berminat dengan kerja-kerja amal Islam semenjak di kampungnya lagi. Dia selalu pergi azan di masjid kampong seberang Jerteh dan suka mengikuti tuan imam masjid tersebut, iaitu Allahyarham Haji Mustaffa bin Hussin, yang secara kebetulannya ialah Tok saudaranya. Haji Mustafa adalah anak kepada ulamak patani yang terkenal iaitu Tuan Guru Haji Hussin Al-Patani. Imam Haji Mustaffa ( yang dikenali sebagai Pak The Pa ) adalah guru al-quran aku semasa berumur 10 tahun lagi. Aku sempat khatam Quran dengannya sebanyak dua kali.

Aku tinggal sekampong dengan YB Dato Seri Idris Jusoh ( mantan Menteri Besar Terengganu ). Dia tinggal di depan rumah ibuku di seberang Jerteh. Oleh kerana aku pernah mengaji agama dengan Allahyarham Tuan Guru Haji ‘Abdul Hamid ( iaitu datok kepada Dato Seri Idris ), aku agak rapat dengan beliau dan sama-sama belajar di Tengku Mahmood Secondary School, Alor Lintang Besut,Terengganu.Kami adalah pelajar cemerlang yang terakhir English Medium lulusan Malaysian Certificate Of Education ( MCE ) pada masa itu, tahun 1973. Sebenarnya tidak ramai yang tahu bahawa Dato Seri Idris pernah mengikuti usrah ABIM bersama aku dan Ustaz Jusoh ( Kampong Padang Luas, Jerteh, Terengganu).

Aku pernah belajar secara tradisional di pondok Allahyarham Tuan Guru Haji Abdul Latiff ,Jerteh (iatu mertua kepada YB Dato’ Abdullah Mat Zin, mantan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri di zaman Tun Mahathir yang sekarang ini sebagai Ahli Parliamen Besut ) dan Allahyarham Tuan Guru Dato’ Haji Abbas ( pondok bukit puteri ) sebelum ke universiti.

MULA BERTEMU ANWAR IBRAHIM

Pertama kali aku menjejak kakiku di Yayasan Anda Akademik, Pantai Dalam, Kampong Baru pada akhir tahun 70an. Yang membawa aku kesana ialah Al-Fadhil Ustaz Abdul Ghani Shamsuddin ( pada ketika itu sebagai Ketua Biro Dakwah ABIM ). Disitulah aku diperkenalkan dengan Brother Anwar Ibrahim, yang pada ketika itu menjadi Presiden ABIM. Aku agak terpegun dapat bersalam dengannya sebab semua pelajar universiti kenal dengan Anwar Ibrahim, seorang yang petah berpidato dan dapat memukau pendengar, khususnya para mahasiswa.

Bermula dari situlah aku mula terlibat dengan program yang dianjurkan oleh ABIM. Aku masih ingat tempat kami selalu berkumpul ia itu di rumah 21C, Jalan Raja Mahmood, Kampong baru, Kuala Lumpur. Sahabat aku bernama Abdul Aziz ( aku tak tahu di mana dia sekarang) merupakan tukang masak di rumah ini. Kami tidur, makan, usrah dan berbincang di rumah keramat ini. Sungguh manis memori indah itu. Maklumlah zaman muda, semangat berkobar-kobar.

Nama-nama yang bermain di ingatanku ialah saperti, Dr Mohd Kamal Hassan, Dr Ghazali Nawawi, Prof. Sayed Mohd Naguid Al-Attas, Ustaz Sidiq Fadil,Sdr. Idris Jauzi ( masa itu belum dapat Dato’), Brother Annuar Tahir, Sdr. Anuar Saleh, Sdr. Abdullah Baba, Sdr Mohd Kamal, Cikgu Azmi (Kedah), Sdr. Ismail Yusof (Perak), Cik Yob Mahmood ( Kelantan ), Sdr Zakaria Dagang ( Terengganu ), Cikgu Abbas ( Pahang ), Prof Syed Hussin Al-Attas, Dr. Osman Bakar, Dr. Mohd Nur Nawawi, Ustaz Sidiq Ahmad, Dr. Ridzuan, Dr. Mohd Yusof Othman, Dr. Wan Mohd Nur Wan Daud, Dr Abdul Rahman Kurais, Dr. Zaini Hamzah, Dr Abdul Halim El-Muhammady,Dr Ali Baharom, Dr. Ghazali Basri,Ustaz Mohd Kamil Abdul Majid, Ustaz Mohd Arshad, Ustaz Mohd Amin, Ustaz Kusno, Ustaz Zakaria, Ustaz Ni’mat,Ustaz Haji Awang Rahim (Terengganu), Ustaz Mohd Abdul Majid (Terengganu), Ustaz Wan Hassan Mohamad( Kelantan), Ustaz Abdul Halim Ismail, Ustaz Sheikh Azmi, Ustas Ghazali ( kedah ), Sdr Ahmad dan ramai lagi ( tak tertulis disini nama sahabat-sahabat seperjuangan ) yang selalu kami temui semasa program, khususnya semasa Muktamar ABIM.

ABIM TETAP DIHATIKU..?

Sesiapa sahaja yang pernah menyertai Angkatan Belia Islam (ABIM) akan berkata : “Saya jadi begini, kerana ABIM yang mendidik saya jadi begini. Kenal erti penggabungan diri saya ke dalam agama Islam. Kenal erti perjuangan Islam. Kenal makna pengorbanan diri, jiwa dan harta.”

Pendidikan yang saya perolehi di uiniversiti, tidak sama saperti yang saya pelajari dalam ABIM. Banyak ‘ilmu’ yang saya perolehi di sini tidak terdapat dalam buku, atau mana-mana galari perpustakaan di dunia ini.Saya dapat secara praktikal dan cara terus. Saya merasainya secara spiritual. Kesannya amat mendalam sekali, susah untuk ditulis dengan perkataan. Semuanya tersirat dan tersurat. Terpahat kukuh di sanubari. Hidup membiak dengan subur di dalam hati nurani. Mengakar sehingga ke seluruh nadi keluarga. Merobah corak pemikiran dan tatasusila kehidupan. Merapat dan memisahkan. Pendik kata membuat hidup kita lain dari yang lain. Sebak di dada dan kuddus di hati apabila mengingati semua pengalaman suka duka sejarah perjuangan dalam ABIM dan ia tetap menjadi memori keramat yang sukar dilupai.

Pendik kata, ABIM sudah menjadi darah daging dalam tubuhku. Tak mungkin aku boleh berpisah daripadanya. Meskipun aku tidak lagi memegang apa-apa jawatan dalam ABIM. Malah sudah tidak layak menjadi ahli ABIM lagi kerana factor usia, namun aku masih menganggap ABIM sebagai “Rumah Perjuanganku”. ABIM telah member ijazah kepadaku untuk berjuang menegakkan ‘kalimatulLah’ di dunia ini.

Pengalaman yang sedikit inilah yang ingin hamba yang dhaif ini kongsi. Mungkin terdapat di sana mutiara berguna buat meneruskan perjuangn suci sebelum nafas ditarik kembali ke tempat azali.
Benarlah kata al-Fadhil Ustaz Sidiq ( yang saya anggap sebagai Mahaguru Gerakan Islam di Dunia Melayu yang sekarang ini adalah Presiden Wadah Pencerdasan Umat Islam Malaysia@ WADAH) bahawa bermula dengan himbauan kepada Islam sebagai ad-Din –cara hidup- yang serba sempurna, kita telah memasuki era memperincikan ‘umumiyatul ‘l-Islam ( prinsip-prinsip umum ajaran Islam ), era menjelmakan mahasinu ‘I-Islam ( keunggulan-keunggulan Islam ) dalam rupa sistem-sistem, program-program dan istitusi-institusi Islam yang yang hadir dan berdiri di tengah-tengah kecamuk timbunan permasalahan umat. Sesungguhnya kita sudah tidak lagi membeku di takuk lama mengulang-ulangi janji dan manisfesto what Islam stands for, tetapi kita telah pun mengorak langkah memasuki era al-hulul wa ‘i-bada’il al-Islamiyyah, zaman penyelesaian dan altenatif-alternatif Islam yang praktis, operatif dan viable. ( Sidiq Fadhil : Ucapan Dasar Muktamar Sanawi ABIM ke 20; 16-19 Ogos 1991; di Dewan Muktamar Pusat Islam Malaysia, Kuala Lumpur ; m.s.6 )

P/S. - SIRIi KE 2 akan datang........" SLOGAN PERJUANGAN "-Insya-Allah.

WAL 'L-LAZINAHUM LI 'L-ZAKATI FAA'ILUNA




KYUSUK MENGHAYATI MAKSUD AYAT 4 : SURAH AL-MU'MINUN DALAM USRAH YANG DIADAKAN SECARA BERGILIR-GILIR DARI RUMAH KE RUMAH SAHABAT....
SOLAT BERJAMAAH MEMOHON RESTU DAN HIDAYAH DARI ALLAH DAN BERSYUKUR DI ATAS KURNIAANNYA KEPADA KITA.
BERBINCANG DAN BERFIKIR UNTUK MEMPRAKTIKKAN MAKSUD AYAT YANG DIBACA SECARA 'AMAL JAMA'IY..?
MERENUNG APA YANG TELAH KITA SUMBANGKAN UNTUK JAMAAH DAN PERJUANGAN ISLAM....?


USRAH WADAH 27 HB APRIL 2010 ( DI RUMAH ABAH DI KOTA BHARU, KELANTAN ) :
Bincang AYAT 4 : SURAH-AL-MU'MINUN : " Dan orang-orang yang mengerjakan ZAKAT ".

Salah satu daripada sifat orang-orang yang beriman ialah "تضحية" ( PENGORBANAN ) iaitu sanggup untuk mengorbankan JIWA, HARTA DAN RAGA mereka untuk jalan Allah. Sebab itulah al Imam As-Syahid Hassan Al-Banna meletakkan sifat ini ( pengorbanan ) ditangga yang kelima dalam RUKUN BAI'AH yang wajib dimiliki oleh setiap pimpinan gerakan Islam.

Memang mudah menyebut korbankan harta pada jalan da'wah. Tapi berapa ramai yang betul-betul melakukannya...? Sesungguhnya HARTALAH yang menjadikan ramai orang lupa diri, sombong, rakus, takabbur, ganas, merompak, membunuh dan alat melakukan maksiat dan dosa terhadap Allah.

Kerana harta juga Fir'aun mengaku dirinya sebagai tuhan. Oleh yang demikian janganlah kita menjadikan harta sebagai alat untuk memuaskan hawa nafsu. Ringankanlah tangan kita untuk 'INFAQ FI SABILILLAH' ( berderma untuk Jalan Alah). Kerana dengan cara tersebut akan dapat menguji dan membersihkan diri kita daripada sifat BAKHIL.

Terlalu sedikit sumbangan kita dalam bentuk " HARTA" dibandingkan dengan apa yang telah kita miliki dan belanjakan untuk kepentingan peribadi kita. Tengoklah pada RUMAH KITA, KERETA KITA, MOTOR KITA, BAJU DAN PAKAIAN KITA, HARI-HARI MAKAN PIZZA, MACDONALD,TIDUR DI HOTEL BESAR-BESAR, NAIK FLIGHT SAHAJA ( BAS TAK MAIN ) MAKAN DENGAN GARPU ( TANGAN TAK MAIN ), KEDAI MAMAK TAK DA KELAS, CAFFETERIA AMALAN BIASA, KASUT BERJENAMA, JAM BERJENAMA, BEG BERJENAMA ( SEMUA BARANG IMPORT ), GIRLFRIEND & BOYFRIEND DENGAN ANAK ORANG KAYA SAJA ( ORANG MISKIN DILETAK PILIHAN TERAKHIR ), KAHWIN BELANJA PULUHAN RIBU ( BUKAN MAIN DEMAND LAGI BAKAL EMAK MERTUA KITA TU ) dan banyak lagi contoh yang boleh kita senaraikan disini. Habis satu Facebook pun tak habis lagi...Maasya-Allah...!!! inilah yang kita bincang dalam usrah. Bagaimana hendak mengatasi penyakit 'HUBBUN DUNIA' umat yang bergelar ISLAM....!!!

Menyebut pasal derma ini, Abah teringat kepada TUAN HAJI BAKHIL dalam cerita LABU LABI arahan Allahyarham Tan Sri P Ramlee. Terdapat banyak pengajaran di sebalik kelucuan filem LABU-LABI.

Abah terbayang wajah Haji Bakhil ketika terbaring di atas katil semasa CIKGU MURNI datang meminta derma untuk Rumah Anak Yatim.....He..hehe..hehe..
Tuan Haji Bakhil........Haji Bakhil....,mudah-mudahan tidak wujud Haji Bakhil dalam keluarga Abah...Na'uzubillah..Insya-Allah.

WalLahu 'Alam. Wassalam.
Related Posts with Thumbnails
Return top