:: Setakat ini belum dirancang Khas untuk ruangan ini.. namum, sebagai memenuhi ruang yang ada, ku paparkan perkongsian Ilmu dan Pengalaman yang di catat oleh Murabbiku.. Ustaz Zahidin ... Semoga dapat manfaat semua :::

Rabu, 28 April 2010

SIRI 3 UNIVERSITI OF ABIM : MENGHAYATI RUKUN BAIAH YANG KE LIMA “تضحية” (PENGORBANAN)




" SEMANGAT KENTAL PEJUANG VATERAN ABIM "

( satu pengalaman yang sungguh indah dan menarik……)

Prof. Dr Yusuf Al-Qardhawi bekata bahawa Jenerasi Islam ini haruslah mempunyai sifat keimanan yang sanggup berkorban-tidak mementingkan diri-sabar-berani-pemurah-
ikhlas-tidak mudah dipengaruhi oleh janji manis manusia-tidak gentar dengan ancaman dan ugutan-dan ini memerlukan pendidikan yang teratur rapi dan jangka masa panjang, yang mempunyai asas yang mendalam; dikendalikan oleh gulungan pilihan “Rabbaniyun”. ( Harakah Islamiah Satu Tuntutan : Terjemahan oleh : Al-Fadhil Ustaz Abdul Ghani Shamsuddin, Mantan Ketua Biro Tarbiah ABIM Pusat ).

Untuk menjadikan ABIM sebagai sebuah Gerakan yang sentiasa relevan sapertimana kehendak Mahaguru ABIM Al-Fadhil Ustaz Sidiq Fadil, ABIM memulakan program tarbiah diperingkat kanak-kanak lagi. Diketuai oleh Dr. Abdul Rahman Kurais ( masa itu pensyarah di Universiti Pertanian Malaysia-UPM) melalui Biro Pendidikan ABIM pusat telah memerah otak menggubal Kurikulum Pendidikan Taman Asuhan Kanak-Kanak Islam ( TASKI ) untuk digunapakai oleh setiap ABIM negeri dan daerah. Turut terlibat antaranya, ialah Tuan Haji Ahmad Said ( Pusat Perkembangan Kurikulum, Kementerian Pelajaran Malaysia ) , Dr Ghazali Basri ( UPM ), Dr, Abdul Halim El-Muhammady ( lebih dikenali sebagai ustaz Halim Al-Muhammady,UKM ), Ustaz Ni’mat Yusof (daripada Pondok Derang Kedah ) Ustaz Ghazali ( Perak ), saudara Ismail Yusof ( Perak ), saudara Che Yob Mahmood ( Kelantan ), saudara Zahidin Mahmood ( Abah, Terengganu ),saudara Anuar Tahir ( S/U Agong ABIM ), saudara Annuar Salleh dan ramai lagi sahabat ABIM warga pendidikan yang turut terlibat. Mereka juga turut terlibat melatih Guru-guru TASKI diseluruh Negara ( termasuklah sebahagian besar guru-guru PASTI, anjuran PAS itu adalah asalnya guru-guru yang terlatih dengan Modul Latihan Guru-Guru TASKI ABIM. Kesemua ini berlaku dalam Tahun 80 ‘an hingga pertengahan tahun 90 ‘an.

Memang benar kata Al-Fadhil Ustaz Sidiq Fadil bahawa da’wah adalah perjuangan yang tidak pernah ketinggalan zaman. Ianya sentiasa dan selamanya releven dalam apa jua suasana dan keadaan. Kita tidak usah merasai rendah kerana menjadi orang da’wah tetapi jangan pula menjadi angkuh, merasa sebagai juara yang mempertidakkan peranan dan sumbangan petugas-petugas Islam di bidang-bidang yang lain.

Orang-orang da’wah bukan golongan drop-outs perjuangan, malah sebenarnya merekalah yang menulangbelakangi perjuangan umat menebus maruah khayra ummah ( umat terunggul ) yang dicirikan oleh watak penda’wah-menyeru kemakrufan, mencegah kemungkaran dan beriman dengan AlLah sapertimana firman Allah di dalam Al-Quran surah Al-Imran ayat 110 yang bermaksud :

“Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang ma’ruf, dan mencegah dari yang mungkar, dan beriman kepada AlLah. Sekiranya Ahli Kitab beriman, tentulah itu lebih baik bagi mereka; di antara mereka yang beriman, dan kebanyakan mereka adalah orang-orang yang fasik.”

( Dipetik daripada : Ucapan Dasar Muktamar Sanawi ABIM Ke 14 di Dewan Kuliah Utama (MLT) Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi, Selangor pada 6-8 Disember 1985;Oleh Presiden ABIM ketika itu,Ustaz Sidiq Fadil ) .

BINA TASKI DALAM SERBA KEDHAIFAN

Aktivis ABIM pada tahun 80 ‘an dan 90 ‘an kebanyakannya adalah guru-guru sekolah dan ustaz sekolah pondok dan kerajaan. Sebahagian besar daripada mereka juga merupakan kakitangan kerajaan ( dari peringkat pegawai hingga ke pekerja rendah am kerajaan dan swasta ). Malah, ramai juga terdiri daripada orang-orang kampong, petani dan tukang-tukang rumah dan nelayan.

Dengan berbekalkan semangat juang yang tinggi serta menginsafi tuntutan amal ma’ruf dan nahi mungkar mereka telah mengorbankan masa, harta, tenaga dan jiwa mereka untuk kepentingan da’wah.
Abah masih ingat ketika Esko ABIM daerah Besut yang dipimpin oleh Ustaz Zahari bin Abdul Latiff telah mengadakan mesyuarat penubuhan TASKI di Besut di kebun pisang di kampong Padang Landak, Jerteh, Besut Terengganu. Sahabat-sahabat datang membawa cangkul, ubi kayu rebus, jagung rebus, nasi laut ikan kering dan biskut tawar keras ( direndam dalam kopi ‘O’ kau ) untuk dimakan setelah penat berkebun.

Kami menanam pisang dan ubi kayu untuk dijual buat menampung kos pembinaan TASKI.
Bagi yang pandai bertukang, tidak mengambil sebarang upah, bahkan ada yang bagi tiang kayu dan papan dinding yang mereka hendak jadikan rumah tempat tinggal untuk dijadikan TASKI. Ada yang datang membawa pasir dan simen dengan menunggang basikal tua. Sampai gendong tiga orang kawan. Kuat sungguh semangat juang mereka. Mereka bukannya orang terpelajar, lulusan universiti. Malah ada yang tak dapat membaca dan menulis. Mereka sanggup tiada jendela rumah asalkan cita-cita Islam mereka dapat didaulatkan. Mereka sanggup beratapkan atap nipah, kerana atap zinc rumah mereka disedekahkan untuk TASKI.

Abah sebak ketika teringat seorang nenek tua ( sudah meninggal ) datang menghadiah sebentuk cincin pusaka miliknya untuk membeli simen bagi menyiapkan lantai TASKI. Ya Allah, terlalu lemah dan hinanya diri ini bila mengenangkan pengorbanan setiap hambamu…..

Habis seisi keluarga ahli-ahli jamaah ABIM turut terlibat, termasuklah nenek tua tersebut. Dia memasak gulai lemak pucuk ubi kayu dan ikan darat yang kami kail dari sungai dan paya yang berdekatan. Kami makan dalam daun pisang dan bersila di atas tanah beralaskan rumput dan pacat. Ada sahabat yang ditugaskan untuk mengambil air dari paya yang berdekatan, kemudian ditapis dengan kain untuk direbus buat diminum menghilangkan kehausan. Lepas makan kami solat berjamaah dan berdoa minta Allah murahkan rezeki untuk menyiapkan bangunan TASKI di dalam kebun tersebut.

Sungguh sedih bercampur pilu, sebak bercampur tawadhuk, memuji kebesaran ilahi yang telah mengurniakan Taufik dan Hidayah kepada hamba-hambanya yang ikhlas dalam menegakkan agama Islam di muka bumi ini.

Abah masih teringat seorang pakcik tua Haji Abdul Ghani, dari kampong seberang Jerteh, Besut , Terengganu ( sudah meninggal dunia) menebang pokok getahnya untuk dijual bagi membuat bangunan TASKI. Tanah tersebut disuruh tanam pisang tanpa diambil sewanya.

Masa itu Abah pakai kereta Simcar ( enjin di belakang ). Dengan kereta tersebutlah kami memunggah benih pisang dari kampong Pak Sik, Keruak, Ulu Besut ( lebih kurang 60 kilometer dari Bandar Jerteh ) untuk ditanam di kebun Haji Abdul Ghani itu. Kami terpaksa berhenti beberapa kali di tepi jalan kerana enjin kereta berasap setelah kering air tangki ( kerana te rlalu panas )sebelum sampai ke tempat menanam benih pisang tersebut.

AlLahyarham Haji Abdul Ghani juga turut sedekahkan rumah sewanya untuk dijadikan bangunan TASKI. Yang sukanya disamping kanak-kanak 5 dan 6 tahun yang belajar di TASKI, ramai juga ibubapa yang turut belajar membaca doa (diluar tingkap TASKI). Abah terbayang dan teringat bangunan yang dianggap sarkas oleh sudin dalam filem Seniman Bujang Lapuk..Ha..haa..

Pernah juga berlaku satu peristiwa dimana salah seorang pelajar TASKI kita yang tidak ingat membaca doa keluar tandas bila pulang kerumahnya. Apabila ditanya kepada kedua orang tuanya, mereka juga tidak pernah membaca doa semasa keluar dari tandas. Masalah menjadi semakin rumit apabila kanak-kanak itu tidak mahu keluar dari tandas tersebut sebelum membaca doa keluar tandas. Katanya Cikgu TASKInya melarang keluar tandas sebelum membaca doa. Nasib baik ada kawan sama-sama belajar di TASKI yang menjadi jiran pelajar tersebut. Tapi yang menjadi masalahnya ialah kedua ibubapanya tidak bertegur sapa dengan jirannya itu kerana berlainan ideologi parti politik. Hendak tak hendak bapa kanak-kanak yang berada di dalam tandas itu terpaksa menebalkan muka pergi minta tolong kawan anaknya untuk mengajar doa keluar tandas tersebut. Nasib baik jirannya itu mengalah membenarkan anaknya pergi mengajar anak orang itu membaca doa. Setelah diajarkan doa itu kepadanya, barulah ia keluar dari tandas tersebut. Selepas peristiwa itu kedua-dua jiran tersebut berbaik semula setelah berbulan tidak bertegur sapa. Siap jemput kami makan nasi lagi dirumah mereka dan abah pun dapat rasa tempiasnya bila dijemput sama makan nasi gulai ayam percit kampong. Beraya sakan kami malam itu, sampai balik pukul 2.00 pagi bersembang mengenai masa depan politik orang Melayu di Malaysia. Abah walaupun tak minat politik terpaksalah sabar menunggu demi untuk menyatukan manusia. Penat badan jangan berkira, tapi syukur kami dapat melihat kesan pendidikan Pra Islam ABIM yang dapat mendamaikan dua insan yang tidak bertegur sapa. AlhamdulilLah….
Mengingat kembali pesanan AlLahyarham Ustaz Fathi Yakan di dalam kitabnya ‘Maaza ya’ni…” beliau menyatakan :

“ Penggabungan diri kedalam gerakan Islam bukan hanya setakat mengemukakan permohonan untuk jadi ahli dan mendaftarkan nama sahaja. Bukan hanya setakat berulang alik ke markas dan pejabat-pejabat gerakan Islam untuk menghadhiri perhimpunan ( bermesyuarat ) sahaja, malah penggabungan ini mestilah membawa pengertian yang lebih jauh, melewati batas formaliti dan penilaian-penilaian lahiriah yang dapat membuktikan kedalaman akidah dan kekuatan hubungan pemikiran dan tanzim. Ia merupakan penggabungan yang bersifat Aqidah.Sejauh mana kita melarutkan aqidah gerakan Islam itu ke dalam diri kita, kerana gerakan Islam menolak intima’ ( penggabungan ) yang dilakukan pada zahirnya sahaja, sebagaimana yang berlaku dalam pertubuhan-pertubuhan yang hanya mementingkan soal-soal struktur kepimpinan sahaja, yang mana keadaan ini telah menjadi kuman yang telah menyebabkan kehancuran pertubuhan-pertubuhan tersebut.

Oleh itu intima’ diri ke dalam gerakan Islam, pertamanya membawa erti penggabungan diri dan menganuti Islam itu sendiri. Keadaan ini seterusnya menuntut supaya seluruh perintah Alah ditaati di samping mengharapkan keredhaanNya. Ini akan dapat mengelakkan penggabungan diri ke dalam gerakan Islamiah terjejas disebabkan kematian seseorang atau kehilangan mereka dari medan da’wah kerana sesuatu sebab. Ini kerana intima’ kedalam gerakan Islam akan menjadikan seseorang itu terikat dengan AlLah, demikian juga perhimpunan anggota gerakan Islam turut .terikat dengan AlLah. Inilah yang menjadi rahsia disebalik kekal dan berterusan da’wah Islamiah. Siapa sahaja yang mengabdikan diri kepada Muhammad s.a.w. sesungguhnya Muhammad s.a.w. telah wafat dan sesiapa sahaja yang mengabdikan diri kepada AlLah, sesungguhnya AlLah hidup dan tidak akan mati.”
Firman Allah ( Surah Al-Fath : Ayat 10 ) :

“ Sesungguhnya orang-orang Yang memberi pengakuan taat setia kepadamu (Wahai Muhammad - untuk berjuang menentang musuh), mereka Hanyasanya memberikan pengakuan taat setia kepada Allah; Allah mengawasi keadaan mereka memberikan taat setia itu (untuk membalasnya). oleh itu, sesiapa Yang tidak menyempurnakan janji setianya maka bahaya tidak menyempurnakan itu hanya menimpa dirinya; dan sesiapa Yang menyempurnakan apa Yang telah dijanjikannya kepada Allah, maka Allah akan memberi kepadanya pahala Yang besar.”

WalLahu ‘Alam.

SIRI KE 4 AKAN MENYUSUL DAN BANYAK LAGI CERITA-CERITA PELIK DAN SEDIH UNTUK KITA KONGSI BERSAMA….INSYA-ALLAH…

SYUKRAN KERANA SUDI MEMBACA “UNIVERSITI OF ABIM”.

28hb April 2010 11.30 malam/KB/Kelantan.



TERIMA KASIH KEPADA ABIM YANG TELAH MELATIH KAMI MENGENALI ERTI SEBUAH KEHIDUPAN DAN PERJUANGAN MENUJU KEREDHAAN TUHAN DAN LEBIH MENGENALI MA'RIFAHNYA, MENGANGKAT MARTABAR IMAN DAN INSAN SERTA MENGINSAFI DIRI SEBAGAI HAMBA YANG KERDIL DAN LEMAH DISISI ALLAH SUBHANAHU WA TA'ALA....


ABIM UNIVERSITI YANG BANYAK BERJASA : Mengingatkan kata-kata sarjana UIA yang banyak melakukan penelitian tentang gerakan-gerakan Islam semasa, iaitu Prof. Dr. Muhammad Kamal Hassan, telah menemukan apa yang disebutnya sebagai RADICAL DEPARTURE - peringkat yang radikal dari segi kematangan dalam ABIM dewasa ini....katanya lagi, "The maturing process (in ABIM) appears to be a genuine developement" ( bahawa process pematangan (dalam ABIM) tampak sebagai suatu perkembangan yang tulen dan benar-benar sedang berlaku) - dipetik dari Ucapan Dasar Mahaguru ABIM, Al-Fadhil Ustaz Sidiq Fadil dalam Ucapan Dasar Muktamar Sanawi ABIM Kali Ke 14, Dewan Kuliah Utama ( MLT ) Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi, Selangor pada 6-8 Disember 1985.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts with Thumbnails
Return top