:: Setakat ini belum dirancang Khas untuk ruangan ini.. namum, sebagai memenuhi ruang yang ada, ku paparkan perkongsian Ilmu dan Pengalaman yang di catat oleh Murabbiku.. Ustaz Zahidin ... Semoga dapat manfaat semua :::

Rabu, 28 April 2010

SIRI PERTAMA UNIVERSITY OF ABIM ; PUJAAN HATIKU..?

SEKAPUR SIREH

Anak2 Abah sekelian. Abah bercadang untuk menulis pengalaman pahit maung ditarbiahkan oleh ABIM sejak dari tahun 1978 sehinggalah hari ini 2010. Terlalu besar ertinya pengalaman yang telah Abah lalui di dalam ABIM selama 22 tahun untuk dikongsikan oleh anak-anak Abah.

Lebih menggerakkan Abah untuk menulis pengalaman tersebut kerana sudah timbul dikalangan masyarakat menganggap ABIM masih lagi kepunyaan DS Anwar dan sememangnya dan selamanya berkerja dan beramal menurut telunjuk DS Anwar, terutama di kalangan pihak kerajaan. Sedangkan ABIM tetap utuh dengan imej dan kredibilitinya sebagai Wadah aspirasi Belia Islam yang non-partisan dan berpaksikan kepada prinsip DA'WAH dan TARBIAH dan membawa watak dan sifat "RAHMATAN LIL-'ALAMIN".

Sapertimana kata mantan Presiden ABIM, Dato Dr. Sidiq Fadhil ( Al-Fadhil Ustaz Sidiq) : “ Kehadiran ABIM membawa watak al-mu’minu ‘l-qawiyy ( mu’min yang kuat ) sifat-sifat keunggulan peribadi al-qawiyyu ‘l-‘amin ( watak yang gagah dan amanah). Kesedaran tentang kekudusan amanatu ‘d-da’wah harus terus digilap demi menghindari gegala pengkhianatan amanah da’wah-memburu populariti hingga mengorbankan kebenaran, memenangkan pendirian dan kepentingan kelompok sendiri hatta dengan memutarbelitkan kenyataan. Untuk kesekian kalinya kami peringatkan lagi, para penda’wah ABIM harus punya keberanian menegakkan kebenaran dan kema’rufan, sekalipun andainya kita terpaksa menentang arus, dan sekalipun andainya kita terpaksa mempertaruh populariti wadah tercinta ini.” ( Ucapan Dasar Muktamar Sanawi ABIM Ke 20; 16-19 Ogos 1991;Dewan Muktamar Pusat Islam Malaysia, Kuala Lumpur,m.s.9).

Perlu ditegaskan bahawa ABIM semesti dan selamanya bebas mengamalkan prinsip 'Corrective Participations' dengan sesiapa saja yang ingin kembali kepada cara hidup Islam yang suci.

Oleh itu Abah akan ceritakan secara telus dan ikhlas bagaimana Abah dan sahabat-sahabat ABIM berjuang atas paltform ABIM menyampaikan Islam ke seluruh pelusok tanah-air hingga ke Sabah dan Sarawak melalui jemputan dan kerjasama dengan Agensi Kerajaan, NGO dan Swasta termasuk para pelajar dan belia serta kanak-kanak taski.

Kemungkinan besar Abah akan menyebut nama-nama mereka yang suka dan sayang terhadap ABIM sehingga kini dan juga mereka yang benci dan ingin melihat ABIM berkubur kerana dengki.

Semoga usaha Abah yang kecil ini akan dapat menyelamatkan ABIM dan memperjelaskan kepada masyarakat khususnya Kerajaan, Parti-parti Politik dan NGO-NGO siapa sebenarnya ABIM dan betapa ruginya sekiranya ABIM tidak ada di Malaysia ini, khususnya untuk belia-belia Islam dan umat Islam serantau.

Anak-anak Abah bolehlah mengikuti SIRI :" UNIVERSIRTY OF ABIM " di facebook abah ini, di mana Abah anggap ABIM adalah Universiti yang sebenar yang telah mendidik Abah mengenal erti hidup dan perjuangan yang sebenarnya. Abah dapat rasa benar kesannya sekarang ini setelah menjangkau umur 50an. Saban waktu diri yang kerdil ini merasa sebak dan tanpa disedari berlinangan air-mata apabila melihat segelintir manusia yang menggelarkan dirinya 'Pejuang Islam' memperalatkan ABIM untuk tujuan peribadi mereka.., " Ya..Allah.., berilah aku kekuatan untuk memperkasa dan menyelamatkan ABIM dari mereka yang berkepentingan itu...!"

SEJARAH CINTA BERPUTIK

Aku masih ingat ketika aku pertama kali diajak oleh Allahyarham Ustaz Ramli Ibrahim ( ketika itu belum dapat Dr.) semasa di UiTM pada tahun 70an. Aku sebenarnya tidak kenal Ustaz Ramli. Namanya pun aku belum pernah dengar sebelumnya. Kebetulan aku tinggal sekampung dengan sepupunya, iaitu Alahyarham Nik Kamarudin Nik Mohd Amin di Kampung seberang Jerteh, Besut Terengganu. Allahyarham Nik Kamarudin menceritakan kepada Allahyarham Ustaz Ramli bahawa ada seorang kawannya yang berminat dengan kerja-kerja amal Islam semenjak di kampungnya lagi. Dia selalu pergi azan di masjid kampong seberang Jerteh dan suka mengikuti tuan imam masjid tersebut, iaitu Allahyarham Haji Mustaffa bin Hussin, yang secara kebetulannya ialah Tok saudaranya. Haji Mustafa adalah anak kepada ulamak patani yang terkenal iaitu Tuan Guru Haji Hussin Al-Patani. Imam Haji Mustaffa ( yang dikenali sebagai Pak The Pa ) adalah guru al-quran aku semasa berumur 10 tahun lagi. Aku sempat khatam Quran dengannya sebanyak dua kali.

Aku tinggal sekampong dengan YB Dato Seri Idris Jusoh ( mantan Menteri Besar Terengganu ). Dia tinggal di depan rumah ibuku di seberang Jerteh. Oleh kerana aku pernah mengaji agama dengan Allahyarham Tuan Guru Haji ‘Abdul Hamid ( iaitu datok kepada Dato Seri Idris ), aku agak rapat dengan beliau dan sama-sama belajar di Tengku Mahmood Secondary School, Alor Lintang Besut,Terengganu.Kami adalah pelajar cemerlang yang terakhir English Medium lulusan Malaysian Certificate Of Education ( MCE ) pada masa itu, tahun 1973. Sebenarnya tidak ramai yang tahu bahawa Dato Seri Idris pernah mengikuti usrah ABIM bersama aku dan Ustaz Jusoh ( Kampong Padang Luas, Jerteh, Terengganu).

Aku pernah belajar secara tradisional di pondok Allahyarham Tuan Guru Haji Abdul Latiff ,Jerteh (iatu mertua kepada YB Dato’ Abdullah Mat Zin, mantan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri di zaman Tun Mahathir yang sekarang ini sebagai Ahli Parliamen Besut ) dan Allahyarham Tuan Guru Dato’ Haji Abbas ( pondok bukit puteri ) sebelum ke universiti.

MULA BERTEMU ANWAR IBRAHIM

Pertama kali aku menjejak kakiku di Yayasan Anda Akademik, Pantai Dalam, Kampong Baru pada akhir tahun 70an. Yang membawa aku kesana ialah Al-Fadhil Ustaz Abdul Ghani Shamsuddin ( pada ketika itu sebagai Ketua Biro Dakwah ABIM ). Disitulah aku diperkenalkan dengan Brother Anwar Ibrahim, yang pada ketika itu menjadi Presiden ABIM. Aku agak terpegun dapat bersalam dengannya sebab semua pelajar universiti kenal dengan Anwar Ibrahim, seorang yang petah berpidato dan dapat memukau pendengar, khususnya para mahasiswa.

Bermula dari situlah aku mula terlibat dengan program yang dianjurkan oleh ABIM. Aku masih ingat tempat kami selalu berkumpul ia itu di rumah 21C, Jalan Raja Mahmood, Kampong baru, Kuala Lumpur. Sahabat aku bernama Abdul Aziz ( aku tak tahu di mana dia sekarang) merupakan tukang masak di rumah ini. Kami tidur, makan, usrah dan berbincang di rumah keramat ini. Sungguh manis memori indah itu. Maklumlah zaman muda, semangat berkobar-kobar.

Nama-nama yang bermain di ingatanku ialah saperti, Dr Mohd Kamal Hassan, Dr Ghazali Nawawi, Prof. Sayed Mohd Naguid Al-Attas, Ustaz Sidiq Fadil,Sdr. Idris Jauzi ( masa itu belum dapat Dato’), Brother Annuar Tahir, Sdr. Anuar Saleh, Sdr. Abdullah Baba, Sdr Mohd Kamal, Cikgu Azmi (Kedah), Sdr. Ismail Yusof (Perak), Cik Yob Mahmood ( Kelantan ), Sdr Zakaria Dagang ( Terengganu ), Cikgu Abbas ( Pahang ), Prof Syed Hussin Al-Attas, Dr. Osman Bakar, Dr. Mohd Nur Nawawi, Ustaz Sidiq Ahmad, Dr. Ridzuan, Dr. Mohd Yusof Othman, Dr. Wan Mohd Nur Wan Daud, Dr Abdul Rahman Kurais, Dr. Zaini Hamzah, Dr Abdul Halim El-Muhammady,Dr Ali Baharom, Dr. Ghazali Basri,Ustaz Mohd Kamil Abdul Majid, Ustaz Mohd Arshad, Ustaz Mohd Amin, Ustaz Kusno, Ustaz Zakaria, Ustaz Ni’mat,Ustaz Haji Awang Rahim (Terengganu), Ustaz Mohd Abdul Majid (Terengganu), Ustaz Wan Hassan Mohamad( Kelantan), Ustaz Abdul Halim Ismail, Ustaz Sheikh Azmi, Ustas Ghazali ( kedah ), Sdr Ahmad dan ramai lagi ( tak tertulis disini nama sahabat-sahabat seperjuangan ) yang selalu kami temui semasa program, khususnya semasa Muktamar ABIM.

ABIM TETAP DIHATIKU..?

Sesiapa sahaja yang pernah menyertai Angkatan Belia Islam (ABIM) akan berkata : “Saya jadi begini, kerana ABIM yang mendidik saya jadi begini. Kenal erti penggabungan diri saya ke dalam agama Islam. Kenal erti perjuangan Islam. Kenal makna pengorbanan diri, jiwa dan harta.”

Pendidikan yang saya perolehi di uiniversiti, tidak sama saperti yang saya pelajari dalam ABIM. Banyak ‘ilmu’ yang saya perolehi di sini tidak terdapat dalam buku, atau mana-mana galari perpustakaan di dunia ini.Saya dapat secara praktikal dan cara terus. Saya merasainya secara spiritual. Kesannya amat mendalam sekali, susah untuk ditulis dengan perkataan. Semuanya tersirat dan tersurat. Terpahat kukuh di sanubari. Hidup membiak dengan subur di dalam hati nurani. Mengakar sehingga ke seluruh nadi keluarga. Merobah corak pemikiran dan tatasusila kehidupan. Merapat dan memisahkan. Pendik kata membuat hidup kita lain dari yang lain. Sebak di dada dan kuddus di hati apabila mengingati semua pengalaman suka duka sejarah perjuangan dalam ABIM dan ia tetap menjadi memori keramat yang sukar dilupai.

Pendik kata, ABIM sudah menjadi darah daging dalam tubuhku. Tak mungkin aku boleh berpisah daripadanya. Meskipun aku tidak lagi memegang apa-apa jawatan dalam ABIM. Malah sudah tidak layak menjadi ahli ABIM lagi kerana factor usia, namun aku masih menganggap ABIM sebagai “Rumah Perjuanganku”. ABIM telah member ijazah kepadaku untuk berjuang menegakkan ‘kalimatulLah’ di dunia ini.

Pengalaman yang sedikit inilah yang ingin hamba yang dhaif ini kongsi. Mungkin terdapat di sana mutiara berguna buat meneruskan perjuangn suci sebelum nafas ditarik kembali ke tempat azali.
Benarlah kata al-Fadhil Ustaz Sidiq ( yang saya anggap sebagai Mahaguru Gerakan Islam di Dunia Melayu yang sekarang ini adalah Presiden Wadah Pencerdasan Umat Islam Malaysia@ WADAH) bahawa bermula dengan himbauan kepada Islam sebagai ad-Din –cara hidup- yang serba sempurna, kita telah memasuki era memperincikan ‘umumiyatul ‘l-Islam ( prinsip-prinsip umum ajaran Islam ), era menjelmakan mahasinu ‘I-Islam ( keunggulan-keunggulan Islam ) dalam rupa sistem-sistem, program-program dan istitusi-institusi Islam yang yang hadir dan berdiri di tengah-tengah kecamuk timbunan permasalahan umat. Sesungguhnya kita sudah tidak lagi membeku di takuk lama mengulang-ulangi janji dan manisfesto what Islam stands for, tetapi kita telah pun mengorak langkah memasuki era al-hulul wa ‘i-bada’il al-Islamiyyah, zaman penyelesaian dan altenatif-alternatif Islam yang praktis, operatif dan viable. ( Sidiq Fadhil : Ucapan Dasar Muktamar Sanawi ABIM ke 20; 16-19 Ogos 1991; di Dewan Muktamar Pusat Islam Malaysia, Kuala Lumpur ; m.s.6 )

P/S. - SIRIi KE 2 akan datang........" SLOGAN PERJUANGAN "-Insya-Allah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts with Thumbnails
Return top